Thursday, January 22, 2009

13 Januari 2009 (Selasa) - ICU

Memori aku tak berapa betul kat sini. Isteri aku cakap aku masuk ICU hari Selasa, yang aku ingat hari Isnin petang tu terus masuk ICU. Aku pakai memori isteri aku je lah.

Petang tu aku dipindahkan ke ICU. Kemasukan aku ke ICU menjadi isu kepada kakitangan ICU kerana aku dihantar ke ICU menggunakan kerusi roda. Ini menyalahi prosedur kemasukan ke ICU di mana setiap pesakit mesti dihantar menggunakan stretcher. Aku rasa nurse yang hantar aku tu mesti teruk kena marah sebab malam tu sister kat ICU ada masuk tanya nama nurse yang hantar aku. Rasa kelakar pun ada jugak. Kakitangan kat ICU tu cakap tak pernah berlaku lagi pesakit masuk ke ICU menggunakan kerusi roda, huhu. Pengalaman di ICU memang menakutkan. Apatah lagi, di ICU cuma aku sorang je yang 'sedar'. Pesakit lain semuanya bergantung kepada 'life support'.

Aku rasa sedih sangat masa kat ICU. Ada terfikir sempatkah aku berjumpa dengan isteriku lagi dan jugak bakal anak kami nanti ? Tiba-tiba je aku rasa berselera nak makan. Isteri aku suapkan. Makan dalam ICU ? Huhu, satu lagi yang kelakar. Yang menghentikan aku daripada makan lagi adalah persoalan macam mana nak buang air besar nanti. Sejak aku sakit lagi rasanya belum buang air besar lagi. Aku tak tau macam mana nak buang air besar dalam keadaan macam ni. Masa kat wad biasa, daripada semalam seharian abang syam menemankan aku. Aku rasa tenang dengan dia. Dalam adik beradik kami, memang dia lah yang selalu jadi 'penjaga' bila sakit. Masa abang roni sakit dulu pun, abang syam je yang dapat tenangkan dia. Dengan orang lain semua dia mengamuk. Rasanya dalam keluarga kami, aku dengan abang roni yang dapat sakit teruk bila dah berkeluarga. Abang roni lagi teruk, berbulan baru pulih. Level aku dengan dia pun sama, aku Emosi-Fizikal, abang roni Emosi-Mental.

Abang ji pun datang petang tu tengok aku kat ICU. Mak dan abah ada sama. Bila diorang semua nak balik, abang syam siap cakap - nurse, saya serahkan lah adik saya ni. Tolonglah jaga dia, buat lah apa yang patut. Aku rasa sayu sangat. Malam ni aku akan berseorangan menghadapi semua ni. Selepas semua balik, ujian pertama aku bermula. Aku nak kencing jadi nurse bagi aku bekas kencing tu. Tapi aku tak dapat ! Dia tak nak keluar. Puas aku 'memujuk', imaginasi pergi tandas tapi tak nak keluar juga. Seksa sangat. Sakit sangat sebab kencing dah banyak tapi tak boleh nak keluar. Aku tak tau berapa lama aku cuba, baru boleh keluar. Lega sangat. Kali kedua senang sikit, letak je bekas terus keluar. Kali ketiga, susah balik nak keluar. Lama betul aku berusaha. Kali ni baru aku jumpa 'teknik' nak bagi dia keluar. Lepas tu baru senang nak kencing dalam bekas.

Penyeksaan kedua kat ICU adalah suhu yang tersangat sejuk. Bayangkan aku asyik dengar je kakitangan kat situ mengeluh sejuk sangat. Dan aku kat sini dengan baju hanya diletakkan kat atas badan. Prosedur kat ICU, baju dipakai dari arah depan. Aku dah boleh atasi masalah kencing tapi masalah sejuk ni ? Aku tak boleh bayangkan kalau aku perlu berada disini sampai esok pagi. Doktor yang memeriksa aku telah pun membuat konklusi aku bukan kes denggi. Doktor tu memang nampak berpengalaman. Dia je lah doktor yang aku boleh percaya sikit kat hospital. Cara bercakapnya pun nampak profesional. Dah dah cakap kat abang aku dan kami semua aku bukan denggi dan dia rasa aku tak patut berada di ICU. Dia malah cakap, dia risau aku akan makin sakit kalau duduk kat ICU. Jadi dia beri arahan kat kakitangan disitu untuk discharge aku tengah malam ni kalau ada pesakit baru masuk ataupun selewat-lewatnya pagi esok.

Aku agak teruja melihat kakitangan ICU. Diorang memang nampak cekap. Aku tak pasti dengan kakitangan sebelah malam, sama ada diorang cuma nurse ataupun doktor. Pakaian mereka tak sama dengan pakaian nurse disebelah petang. Doktor agak senang dikenali sebab shif mereka tak berubah daripada petang. Setiap pesakit di ICU akan dapat seorang doktor dan nurse (sebelah petang). Sebelah malam, aku tak pasti staff yang bertugas menjaga aku tu doktor atau nurse. Kesemua mereka nampak cekap. Setiap katil ada 'meja laporan'. Nurse atau doktor akan duduk di meja ni menulis laporan bagi setiap pesakit. Masa nak discharge aku keluar, aku lihat staff yang jaga aku tu ambil masa hampir masa 1 jam sebelum aku dengar dia sebut, "dah siap !" sambil bangun dari kerusi dia. Rasanya dia tengah tulis report aku. Doktor pun kena tulis report jugak. Pukul 12.30 rasanya baru semua urusan siap untuk discharge aku ke wad biasa. Ditambah pula dengan semua sibuk uruskan pesakit yang baru masuk, aku yang 'sihat' ni memang tak dipedulikan sangat.

Dihantar ke wad biasa, tak ada katil kosong. Diorang tempatkan aku ditengah-tengah laluan antara katil pesakit. Dengan kipas berpusing ligat betul-betul atas kepala aku, aku tak pasti sama ada keadaan disini atau di ICU yang lebih teruk. Selipar aku tertinggal kat ICU. Aku terpaksa ke tandas berkaki ayam. Dan aku masih belum pandai lagi nak 'kendalikan' botol air tu. Dengan seluar jerut yang terlalu besar, siksanya nak kencing lepas tu nak betulkan seluar. Cara aku buat, lepas kencing terus kembali ke katil dengan pegang seluar. Naik atas katil baru jerut balik seluar. Aku kena buat ni setiap kali nak kencing.

No comments:

Post a Comment