Thursday, January 22, 2009

13 Januari 2009 (Selasa) - ICU

Memori aku tak berapa betul kat sini. Isteri aku cakap aku masuk ICU hari Selasa, yang aku ingat hari Isnin petang tu terus masuk ICU. Aku pakai memori isteri aku je lah.

Petang tu aku dipindahkan ke ICU. Kemasukan aku ke ICU menjadi isu kepada kakitangan ICU kerana aku dihantar ke ICU menggunakan kerusi roda. Ini menyalahi prosedur kemasukan ke ICU di mana setiap pesakit mesti dihantar menggunakan stretcher. Aku rasa nurse yang hantar aku tu mesti teruk kena marah sebab malam tu sister kat ICU ada masuk tanya nama nurse yang hantar aku. Rasa kelakar pun ada jugak. Kakitangan kat ICU tu cakap tak pernah berlaku lagi pesakit masuk ke ICU menggunakan kerusi roda, huhu. Pengalaman di ICU memang menakutkan. Apatah lagi, di ICU cuma aku sorang je yang 'sedar'. Pesakit lain semuanya bergantung kepada 'life support'.

Aku rasa sedih sangat masa kat ICU. Ada terfikir sempatkah aku berjumpa dengan isteriku lagi dan jugak bakal anak kami nanti ? Tiba-tiba je aku rasa berselera nak makan. Isteri aku suapkan. Makan dalam ICU ? Huhu, satu lagi yang kelakar. Yang menghentikan aku daripada makan lagi adalah persoalan macam mana nak buang air besar nanti. Sejak aku sakit lagi rasanya belum buang air besar lagi. Aku tak tau macam mana nak buang air besar dalam keadaan macam ni. Masa kat wad biasa, daripada semalam seharian abang syam menemankan aku. Aku rasa tenang dengan dia. Dalam adik beradik kami, memang dia lah yang selalu jadi 'penjaga' bila sakit. Masa abang roni sakit dulu pun, abang syam je yang dapat tenangkan dia. Dengan orang lain semua dia mengamuk. Rasanya dalam keluarga kami, aku dengan abang roni yang dapat sakit teruk bila dah berkeluarga. Abang roni lagi teruk, berbulan baru pulih. Level aku dengan dia pun sama, aku Emosi-Fizikal, abang roni Emosi-Mental.

Abang ji pun datang petang tu tengok aku kat ICU. Mak dan abah ada sama. Bila diorang semua nak balik, abang syam siap cakap - nurse, saya serahkan lah adik saya ni. Tolonglah jaga dia, buat lah apa yang patut. Aku rasa sayu sangat. Malam ni aku akan berseorangan menghadapi semua ni. Selepas semua balik, ujian pertama aku bermula. Aku nak kencing jadi nurse bagi aku bekas kencing tu. Tapi aku tak dapat ! Dia tak nak keluar. Puas aku 'memujuk', imaginasi pergi tandas tapi tak nak keluar juga. Seksa sangat. Sakit sangat sebab kencing dah banyak tapi tak boleh nak keluar. Aku tak tau berapa lama aku cuba, baru boleh keluar. Lega sangat. Kali kedua senang sikit, letak je bekas terus keluar. Kali ketiga, susah balik nak keluar. Lama betul aku berusaha. Kali ni baru aku jumpa 'teknik' nak bagi dia keluar. Lepas tu baru senang nak kencing dalam bekas.

Penyeksaan kedua kat ICU adalah suhu yang tersangat sejuk. Bayangkan aku asyik dengar je kakitangan kat situ mengeluh sejuk sangat. Dan aku kat sini dengan baju hanya diletakkan kat atas badan. Prosedur kat ICU, baju dipakai dari arah depan. Aku dah boleh atasi masalah kencing tapi masalah sejuk ni ? Aku tak boleh bayangkan kalau aku perlu berada disini sampai esok pagi. Doktor yang memeriksa aku telah pun membuat konklusi aku bukan kes denggi. Doktor tu memang nampak berpengalaman. Dia je lah doktor yang aku boleh percaya sikit kat hospital. Cara bercakapnya pun nampak profesional. Dah dah cakap kat abang aku dan kami semua aku bukan denggi dan dia rasa aku tak patut berada di ICU. Dia malah cakap, dia risau aku akan makin sakit kalau duduk kat ICU. Jadi dia beri arahan kat kakitangan disitu untuk discharge aku tengah malam ni kalau ada pesakit baru masuk ataupun selewat-lewatnya pagi esok.

Aku agak teruja melihat kakitangan ICU. Diorang memang nampak cekap. Aku tak pasti dengan kakitangan sebelah malam, sama ada diorang cuma nurse ataupun doktor. Pakaian mereka tak sama dengan pakaian nurse disebelah petang. Doktor agak senang dikenali sebab shif mereka tak berubah daripada petang. Setiap pesakit di ICU akan dapat seorang doktor dan nurse (sebelah petang). Sebelah malam, aku tak pasti staff yang bertugas menjaga aku tu doktor atau nurse. Kesemua mereka nampak cekap. Setiap katil ada 'meja laporan'. Nurse atau doktor akan duduk di meja ni menulis laporan bagi setiap pesakit. Masa nak discharge aku keluar, aku lihat staff yang jaga aku tu ambil masa hampir masa 1 jam sebelum aku dengar dia sebut, "dah siap !" sambil bangun dari kerusi dia. Rasanya dia tengah tulis report aku. Doktor pun kena tulis report jugak. Pukul 12.30 rasanya baru semua urusan siap untuk discharge aku ke wad biasa. Ditambah pula dengan semua sibuk uruskan pesakit yang baru masuk, aku yang 'sihat' ni memang tak dipedulikan sangat.

Dihantar ke wad biasa, tak ada katil kosong. Diorang tempatkan aku ditengah-tengah laluan antara katil pesakit. Dengan kipas berpusing ligat betul-betul atas kepala aku, aku tak pasti sama ada keadaan disini atau di ICU yang lebih teruk. Selipar aku tertinggal kat ICU. Aku terpaksa ke tandas berkaki ayam. Dan aku masih belum pandai lagi nak 'kendalikan' botol air tu. Dengan seluar jerut yang terlalu besar, siksanya nak kencing lepas tu nak betulkan seluar. Cara aku buat, lepas kencing terus kembali ke katil dengan pegang seluar. Naik atas katil baru jerut balik seluar. Aku kena buat ni setiap kali nak kencing.

12 Januari 2009 (Isnin)

Aku antara sedar tak sedar malam tu tapi aku perasan abang mi tidur atas lantai malam tu kat sebelah katil aku. Asalnya dia cuma datang nak tengok aku. Tapi bila abang syam aku keluar, tak dapat nak masuk balik kena tahan dengan pengawal. Terpaksalah dia jaga aku malam tu. Kesian jugak kat dia sebab dia baru balik kerja. Tak balik rumah pun lagi. Subuh tu dia balik, sebab nak hantar anak dia pergi sekolah. Masa tu aku rasa siksa sangat. Nak kena pergi tandas sendiri. Pagi tu, nurse masuk bagi pakaian wad suruh mandi dan tukar baju. Macam mana aku nak mandi ni ? Kebetulan bilik air penuh, aku buat keputusan terus tukar baju, tak mandi. Nak tukar baju bukan main susah, kena pulak seluar yang dia bagi tu bukan main besar. Nak menjerut seluar tu dengan tangan aku yang sakit, ya Allah siksanya. Nak makan pun susah, sebab pinggang aku sakit jadi boleh gerak sikit-sikit je. Makcik kat depan katil aku yang tolong dekatkan tempat makanan tu. Dia tengah jaga suami dia, baik betul makcik tu.

Lebih kurang pukul 9.00 pagi abang aku sampai. Rasa lega sikit. Terus mintak tolong dia pergi tandas. Masa ni memang seksa betul sebab pinggang sebelah kiri aku memang sakit sangat. Tak lama lepas tu, doktor datang check dan bawa berita yang amat tak best. Aku kena dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah kat JB. HSA memang hospital yang mengerikan bagi orang-orang kat JB. Abang aku tanya kalau aku boleh dihantar ke Hospital Sultan Ismail tapi doktor tu cakap tak boleh sebab prosedur mesti ke HSA. HSA nanti yang boleh putuskan kalau aku perlu dipindahkan ke HSI. Wad kat Hospital Kulai memang agak selesa. Setiap bilik ada 8 katil. Suasana pun agak tenang dan damai. Kali pertama aku naik ambulan. Dalam satu ambulan, ada sorang lagi pesakit denggi dengan penjaga dia. Ada sorang makcik, dalam stretcher. Mungkin sakit jantung sebab dia kena pakai alat bantuan pernafasan. Makcik tu nampak nazak sangat. Takut aku. Tiga orang nurse untuk tiga orang pesakit. Rupanya setiap pesakit ada nurse dia sendiri. Nurse aku bagus jugak orangnya, cun jugak, hehe. Keadaan kelam kabut sikit sebelum ambulan bertolak. Tangki oksigen untuk makcik tu rupanya dah kosong. Kena tukar yang baru.

Rasa mcm best jugak bila ambulan mula bergerak keluar dari kawasan hospital. Kenderaan semua menyisih ke tepi. Dalam ambulan memang sempit sangat. Dengan makcik tu yang sukar bernafas, keadaan memang agak genting ! Sampai kat HSA, nurse2 ni kena buat pendaftaran masuk wad untuk pesakit masing-masing. Orang agak ramai di kaunter pendaftaran dan aku nampak nurse tu terpaksa menunggu agak lama. Makcik ni makin teruk. Memang lama betul nak tunggu pendaftaran tu selesai. 'Nurse aku' paling lambat. Ada masalah sikit rupanya dengan pendaftaran aku. Selesai pendaftaran, ambulan bergerak ke wad. Masa tengah mendaki bukit, ambulan tiba-tiba mati. Ya Allah ! Nurse kat sebelah aku menjerit. Makcik tu makin sesak. Janganlah mati kat sini ! Wad bukan main jauh, nak naik bukit lagi. Setelah beberapa kali pemandu cuba start, Alhamdulillah dapat hidup balik. Masa tu aku terpikir, betapa daifnya kemudahan kesihatan yang kita ada. Ambulan yang sendat, tiba-tiba mati pulak tu. Aku dengan nurse aku diturunkan dulu, yang lain bergerak ke wad lain. Semoga makcik tu selamat.

Nurse aku tolak aku dengan kerusi roda ke wad yang aku bakal duduki. Wad Dahlia 1 (D1) HSA. Keadaan di wad tu memang kacau bilau. Ianya sebuah dewan panjang, dengan partition memisahkan ruangan katil. Sendat betul. Katil pesakit bertaburan, ada yang kat tepi laluan. Malah ada yang terpaksa duduk depan bilik air ! Nurse dan doktor semua sibuk berlari ke sana-sini. Ada pesakit yang menjerit kesakitan, ya Allah, neraka apakah ini ? Amat berbeza sekali dengan keadaan di hospital Kulai. Aku makin sakit dibuatnya kalau mcm ni. Nurse aku tu cuba untuk mendapatkan perhatian kakitangan di situ tapi semua orang sibuk. Lebih kurang 1/2 jam kami terpaksa menunggu sebelum dilayan kakitangan di situ. Tapi katil tak cukup pulak. Aku kena tunggu diorang pindahkan seorang pesakit ke katil lain sebelum aku dapat naik ke katil aku. Aku ditempatkan dihadapan kaunter utama. Aku perhatikan prosedur memang mcm tu, pesakit baru akan ditempatkan berhampiran dengan kaunter.

Bermula sesi pemeriksaan oleh doktor-doktor kat situ. Aku rasa diorang ni semua doktor pelatih. Aku buat kesilapan besar dengan bagitau aku sakit kat bahagian pinggang. Tahu apa yang keluar kat report aku ? Abdominal pain. Bangang punya doktor. Disebabkan report meraban tu aku terpaksa melalui prosedur-prosedur tak bermakna sepanjang berada di sana. Aku kena buat X-Ray sebab takut ada "internal bleeding". Kena buat ultrasound. Diorang takut aku ada masalah apendiks. Dan aku sempat terbaca dalam report aku (yang tak boleh dibaca sebenarnya) diorang nak refer aku ke surgical untuk pembedahan apendiks. Apa ni ! Aku terus hilang keyakinan kepada doktor-doktor ni. Mcm mana diorang boleh buat anggapan meraban ni ? Aku cuma dehydration. Buah pinggang aku sakit. Tu je. Cuma seorang doktor je kat ICU yang dapat baca report aku dengan betul dan buat konklusi yang munasabah berdasarkan kondisi semasa aku. Memang patut pun dia duduk kat ICU.

11 Januari 2009 (Ahad)

Demam aku dah hilang. Selera makan aku dah ada sikit. Beberapa hari ni aku cuma 'survive' dengan jus harmoni yang abang aku buat. Itu je lah yang tekak aku dapat terima dan itu je lah sumber tenaga dalam masa beberapa hari ni. Tapi hari ketiga tu, masalah lain timbul. Belakang pinggang aku sebelah kiri sakit sangat. Rupanya aku dehydration, tak cukup air. Jadi buah pinggang kecut, tu yang sakit sangat kat pinggang. Isteri aku memang dah selalu sangat membebel cakap aku kurang minum air, sebelum sakit lagi pun. Abang aku suruh pergi buat ujian darah kat klinik sebelah. Nak masukkan air sekali tapi klinik tu takde stok pulak.

Petang tu dapat keputusan ujian darah, platlet count 19 ! Tapi yang peliknya demam aku dah takde. Bintik2 merah pun dah makin kurang. Penyakit denggi dengan platlet 19 biasanya dah koma, darah keluar kat hidung, mata, telinga, gusi dan kat semua bintik-bintik merah tu akan pecah keluar darah. Aku cuma sakit pinggang. Bila tahu platlet aku 19, semua klinik taknak terima untuk masukkan air. Semua suruh pergi hospital. Jadi malam tu, nak tak nak abang aku terpaksa juga hantar aku ke hospital Kulai untuk masukkan air. Pergi kat kecemasan, nasib baik diorang terima juga bila abang aku tunjuk keputusan ujian darah. Masuk kat bahagian kecemasan, diorang suruh baring atas katil je. Masa tu aku terdengar lah perbualan diorang, katil ni betul ke platlet 19. Patut dah tak boleh jalan. Patut dah tak sedar ni. Panjang lagi la pot pet diorang tu. Aku sabar je lah. Ada lah dalam setengah jam lebih jugak aku terbaring kat katil tu takde sape peduli. Pinggang ni bukan main sakit.

Lepas tu barulah ada sorang staff tu datang nak masukkan air. Dia buat macam nak tak nak je. Aku ingat lagi muka dia mcm mana masa nak masukkan air kat aku. Lepas aku terdengar sikit perbualan diorang, dah ... aku dah masukkan air 1 pain. Dah dia nak masuk air, aku masukkan air je lah. Platlet 19, ntah betul ke tak .... Sabar je lah. Tengah malam, pukul 12 agaknya baru ada doktor pergi check aku. Dia tanya aku soalan biasa denggi (hari berikutnya tugas aku adalah menjawab soalan2 ini setiap kali doktor pergi check). Ada berdarah kat mana-mana tak ? Takde. Gusi berdarah ? Tak. Buang air ok ? OK. Demam ? Tak. Saya sakit pinggang je lah doktor, tak demam. Tapi aku cakap dalam hati je lah. Tengah malam tu baru diorang masukkan aku kat wad, sebab dianggap sebagai kes denggi.

Pengalaman pertama kat wad memang menyeksakan. Paling utama, mcm mana nak pergi tandas dengan bekas air kat tangan tu. Selepas dimasukkan air, aku memang rasa nak kencing kerap sangat. Setiap kali pergi tandas, darah akan keluar ke saluran masuk air. Menakutkan. Menakutkan. Aku cuma belajar teknik yang betul lepas keluar daripada ICU dua hari berikutnya. Malam pertama kat hospital Kulai, abang aku temankan. Aku memang susah nak bangun dari katil sebab pinggang sakit sangat. Nak jalan pun sakit. Dia akan pegang bekas air tu bila aku nak pergi tandas. Aku cuba untuk kencing dalam bekas khas tu tapi rupanya bukan senang. Tak boleh nak keluar ! Aku pun tak tau kenapa. Kena pergi tandas jugak. Dan inilah pengalaman paling memeritkan bila aku masuk ICU sebab kat ICU takde tandas ! Dan tak boleh bangun kat ICU. Nak tak nak kena kencing dalam bekas tu

10 Januari 2009 (Sabtu)

Hari kedua rawatan, tetap sama. Tak boleh nak tahan, sejuk sangat. Hari ni aku duduk kat wad je, kat sebelah atas klinik. Teruskan buat bilasan dengan ais beberap kali untuk turunkan suhu badan. Aku cakap dengan isteri aku nak tidur kat wad hari ni sebab tak larat nak ulang-alik dari rumah ke klinik. Dia macam berat je tapi terpaksa mengalah dengan aku. Malam tu, aku tidur sorang-sorang kat wad. Lepas solat Maghrib (aku jamak terus Isyak) aku terus tidur. Abang aku datang tengok kejap. Dia tolong semburkan air kat kepala aku. Rupanya banyak kali juga dia datang tengok aku malam tu. Aku menggigil kuat sangat katanya. Mak dan abah pun rupanya datang tengok aku malam tu. Diorang nak ajak aku balik rumah tapi sebab aku dah tidur, tak jadi. Diorang jumpa abang aku je.

9 Januari 2009 (Jumaat)

Pagi ni rasa segar sikit, jadi aku drive sendiri pergi HKL. Isteri dengan adik ipar aku temankan. Pagi ni keadaan agak bercelaru di HKL. Doktor semalam cakap, cuma tunjukkan keputusan ujian darah malam tu yang dia buat catatan sikit, nanti staff kat pendaftaran akan tahu nak refer aku ke mana. Hampeh, staff tu tak pandang pun bila aku tunjuk slip keputusan tu. Dia bagi nombor dan isi borang pendaftaran macam biasa. Pelik betul, semalam dah isi. Lepas tu dapat nombor bilik, terus pergi situ untuk tunggu nombor dipanggil.

Bila nombor aku dipanggil, nurse tu cuma tanya dah buat ujian darah belum hari ni. Aku cakap belum, dia suruh buat ujian darah dulu. Lepas dah ambil darah kena pergi hantar kat makmal. Kat makmal hari ni Tuhan saja la yang tahu. Ramainya orang. Sampai tengah hari aku tunggu baru dapat keputusan ujian darah. Platlet turun sampai 89. Prosedur kat HKL hari ni memang bercelaru. Kalau semalam, di setiap kaunter/bilik kita akan dapat nombor giliran untuk dibawa ke kaunter/bilik seterusnya. Hari ni takde, staff kat makmal tu cuma cakap pergi jumpa doktor. Kat mana ? Takkan nak daftar lagi sekali ! Waktu rehat pun dah mula, jadi kena tunggu sampai pukul 2.30. Lepas isteri dan adik ipar aku makan kat cafe (aku langsung takde selera), aku mula terfikir nak balik Johor. Kalau pergi jumpa doktor, kemungkinan besar aku masuk wad. Aku cuma fikir macam mana isteri aku nak datang tengok aku, duduk sorang2 kat rumah. Dia bukannya tau jalan kat KL ni. Aku sms abang aku tanya pendapat dia, dia cuma balas "balik sekarang".

Aku terus ajak isteri aku balik rumah. Sampai rumah aku tidur kejap. Pesan kat isteri aku suruh kemaskan semua barang yang nak bawa balik. Nak masuk asar, aku bangun dan kami terus bertolak balik ke Johor. Aku bertahan sedaya mungkin untuk memandu kereta keluar dari KL ke lebuh raya PLUS. Masuk lebuh raya, aku masih cuba bertahan. Tak yakin sangat nak bagi isteri atau adik ipar aku memandu kat lebuh raya. Aku dah lupa sampai kat hentian mana, dah tak boleh tahan sangat. Terpaksa bagi isteri aku bawa jugak. Duduk kat belakang, tak boleh nak tidur pun. Mata asyik melilau mengawasi isteri aku memandu. Bila dia tukar dengan adik ipar aku pun, aku makin berwaspada. Memang tak yakin betul aku dengan diorang. Alhamdulillah, perjalanan kami lancar, kereta memang tak banyak hari tu walaupun hari Jumaat. Pukul 9.30, kami sampai kat Skudai. Terus pergi kat klinik abang aku. Lepas buat diagnosis, terus buat rawatan hidroterapi ais.

Dah setahun lebih aku tak buat hidroterapi ais. Dan rawatan hidroterapi ais semasa sakit memang menyeksakan. Sebelum ni seronok je buat hidroterapi ais masa sihat. Patutlah kebanyakan patient yang aku mandikan sebelum ni, diorang tak tahan sangat. Aku (dengan poyonya) akan sentiasa cakap, sabar ... sabar. Tak lah sejuk sangat. Biasa je ni. Bertahan sikit je lagi. Tapi malam tu aku memang tak boleh tahan. Sejuk sangat ! Cakap dengan kawan aku tu, si Habib - setengah jam je. Biasanya kena 45 minit baru cukup. Aku tak tahu lah betul ke dia setkan setengah jam je. Lama sangat. Dulu aku pun selalu 'tipu' patient. Bila diorang tanya berapa minit lagi, aku cakap 10 minit lagi bang. Padahal ada lebih kurang 18 minit lagi. Saja nak bagi diorang bertahan. Orang sakit ni tak boleh dilayan sangat. Lepas hidroterapi, masa nak keluar dari bath up, aku macam lumpuh. Kaki langsung tak kuat. Habib terpaksa papah aku keluar dan buat pertama kalinya, aku mandi nak bersihkan badan atas lantai sambil bersila.

Lepas mandi, tubuh memang menggeletar tak berhenti. Nak jalan, bercakap pun tak boleh. Kena baring dalam selimut lebih kurang setengah jam, baru boleh balik. Malam tu, aku boleh tidur lena sikit.

8 Januari 2009 (Khamis)

Pagi ni aku rasa bertenaga sikit walaupun sakit kat seluruh badan. Tengah hari tu, jiran sebelah (kamceng dengan wife aku) ajak pergi klinik kesihatan kat Setapak. Aku memang plan nak buat ujian darah. Tapi klinik tu tak boleh buat ujian darah pulak. Kena pergi HKL jugak. Lepas tu aku gagahkan jugak pergi ambil kereta kat jalan Chan Sow Lin. Masa tu aku bertahan je lah. Lagipun kalau ada kereta senang sikit kalau sakit aku makin teruk. Ingat lepas ambil kereta nak terus pergi HKL, tapi aku rasa tak larat sangat. Terus balik rumah. Aku nak tidur.

Malam tu minta tolong anak jiran sebelah hantarkan pergi HKL. Aku dah tak larat sangat. Rancangan asal nak pergi ke bahagian kecemasan terus tapi kena tolak ke klinik biasa jugak. Syukurlah, malam tu orang tak ramai sangat. Daftar untuk buat ujian darah dan lepas dapat keputusan dari makmal, terus jumpa doktor. Lebih kurang 1 jam lebih jugak lah menunggu. Doktor cakap belum denggi lagi sebab platlet darah turun sampai 129 je. Dia suruh datang check sekali lagi esok. Untuk malam tu, dia suruh masukkan air satu botol. Kali pertama aku kena cucuk nak ambil darah, lepas tu kena cucuk lagi nak masukkan air. Masa nak masukkan air kena cucuk sampai 3 kali sebab dia tak dapat nak cari urat yang sesuai. Adoi ...

Pukul 10.30 lebih kurang, setel. Balik rumah terus tidur. Terpaksa ambil paracetamol 2 biji sebab tak tahan sangat sakit. Paracetamol ni rupanya tak se'power' panadol. Dua jam je aku dapat tidur nyenyak, lepas tu asyik terjaga sebab sakit kat kepala dan seluruh badan. Isteri aku memang tak tidur sepanjang malam dia cakap (aku tak sedar), sebab nak semburkan air kat kepala aku bagi sentiasa lembap.

7 Januari 2009 (Rabu)

Aku rasa macam seram sejuk je, mcm nak demam masa nak pergi ofis pagi tu. Sampai kat ofis, aku rasa makin berat kepala. Pukul 12 cakap dengan bos nak balik, tak tahan sangat. Dia suruh pergi check kat KBMC. Walaupun malas, aku pergi la jugak. Aku nak balik rumah je, tak tahan sangat dah. Doktor kat KBMC cakap aku demam biasa je. Paling buat aku sakit masa nak bayar, RM119.20 ! Mak oi ! Aku tau lah KBMC bukan macam klinik biasa tapi tak sangka pulak sampai 100 lebih check biasa je. Jangkaan aku dalam RM50.00, kira ok la tu. Aku cakap duit tak cukup, nak kena ambil kat ATM dulu.

Keluar je KBMC, aku terpikir tak nak ambil ubat. MC dah dapat pun tapi kemudian terfikir caj konsultasi belum bayar lagi, nanti tak berkat pulak. Aku pun cucuk la jugak duit kat ATM. Pergi balik kat farmasi, aku tanya la ubat apa yang dapat. Dia cakap ubat tahan sakit, ubat demam dengan ubat antibiotik. Aku tanya boleh tak kalau taknak ambil ubat ? Dia cakap tak boleh. Aku tanya kalau ambil satu je ubat boleh tak ? Dia pun call supervisor dia kot, lepas tu dia cakap boleh ambil satu je ubat. Aku cakap ambil ubat demam je lah. Dia pun bagitau total, RM19.00. Aik, murah sangat lah pulah. Aku tanya caj konsultasi dah kira ke ? Dia cakap dah, RM10.00. Laa, ubat rupanya yang mahal. Berkualiti sangat ke ubat kat KBMC berbanding klinik lain ? Memang betul la bila orang kata doktor2 kat klinik/hospital swasta tak lebih sebagai jurujual (salesman) untuk drugs company.

Lepas zuhur, terus balik rumah. Memang dah tak larat sangat nak jalan kaki dari ofis ke stesen LRT Kampung Baru. Menyesal pulak tak ambil teksi je. Sampai rumah terus baring. Bila bangun petang tu, aku rasa sakit sangat kat seluruh badan. Memang pelik betul rasanya demam kali ni. Makan dah tak lalu langsung. Malam tu bertahan je dengan mandi + ais.